Tuesday 10 May 2016

Kepuasan selepas bersenam, kurang stress, mengapa?

Mengapa mood anda riang selepas bersenam? 
1 – Manusia terdiri daripada beberapa sistem. Sistem-sistem ini mempunyai fungsi mereka sendiri dan merekalah yang membentuk ciri-ciri kemandirian manusia seperti bernafas, makan (pencernaan) dan membiak. Antara sistem-sistem ini, ada satu sistem yang dikenali sebagai Sistem Saraf (Nervous System).
2 – Sistem saraf manusia berfungsi untuk menyelaras aktiviti-aktiviti badan dengan menghantar mesej ke otak dalam bentuk impuls sebagai tindak balas terhadap rangsangan yang diterima (stimuli).
3 – Bahagian-bahagian sistem saraf yang kompleks ini boleh dibahagikan kepada 2, iaitu sistem saraf pusat (otak, saraf tunjang atau spinal chord) dan periferi (cabang-cabang saraf yang lain).

4 – Sistem saraf ini mempunyai cabang-cabang yang sangat banyak. Seperti dalam rajah di atas, cabang-cabang ini kelihatan secara kasar seperti wayar yang berhubungan dan berselirat. Namun apabila diteliti secara mikroskopik, ia sebenarnya terdiri daripada berjuta-juta sel yang ‘hampir bersambungan’ secara fizik antara satu sama lain; sel ini dikenali sebagai Neuron (sel saraf).
5 – Neuron mempunyai rupa fizik yang berbeza berbanding sel-sel badan yang lain. Tatkala kebanyakkan sel dalam badan berbentuk bulat/sfera (seperti sel lemak), bentuk neuron adalah lebih abstrak – ia mempunyai begitu banyak ‘tangan’ dan ‘jari-jemari’ yang dikenali sebagai dendrites (jejari yang berdekatan dengan nukelus, atau bolehlah dipanggil ‘kepala’) dan terminal axon (jejari pada sebelah ‘ekor’) – keduanya berfungsi sebagai medium perhubungan antara satu neuron dengan neuron yang lain. Perhubungan yang macam mana itu?

Struktur umum Sel saraf (Neuron) – fokus kepada “Dendrites” dan “Terminal Axon” sahaja buat masa ini.
6 – Perhubungan yang dimaksudkan sebentar tadi adalah peghantaran insyarat yang disampaikan dari satu neuron, kepada neuron yang lain, dan isyarat ini pula adalah dalam bentuk bahan kimia yang dikenali sebagai neurotransmitter.
7 – Sebagai contoh, Neuron A (berada berdekatan dengan kawasan di mana rangsangan diterima, atau senang cerita hujung saraf) hendak menghantar isyarat ke otak, namun tindakan ini perlu melalui berjuta-juta neuron sebelum isyarat itu sampai ke otak. Lalu Neuron A akan menghantar isyarat kepada Neuron B dahulu. Oleh itu, terminal axon Neuron A akan berada berdekatan dengan dendrite Neuron B, dan isyarat (neurotransmitter) akan diberikan.
Kemudian terminal axon Neuron B pula akan menghantar isyarat yang sama kepada dendrite Neuron C, dan terminal axon Neuron C menghantar isyarat kepada dendrite Neuron D, dan begitulah seterusnya, melalui berjuta-juta neuron sehinggalah isyarat sampai di otak. Meskipun di atas kertas, kita melihat proses ini sangat panjang, tetapi tahukah anda semua ini berlaku dalam tempoh yang SANGAT PANTAS. Pantas yang maca mana itu? Bayangkan tangan anda tersentuh cerek yang panas, dan anda secara refleks mengalihkan tangan anda; bahagikan tempoh masa tersebut kepada 2, dan itulah tempoh masa yang perlu diambil oleh Neuron A untuk menghantar isyarat ‘rasa panas’ itu ke otak. Pantas bukan?

Masa belajar dahulu, kalau nak senang ingat, saya selalu membayangkan yang Neuron A akan ‘berak’ (bahagian ekor / axon) dan ‘tahinya’ (neurotransmitter) akan dimakan oleh Neuron B (bahagian kepala / dendrite). Neuron B pula akan berak apa yang sudah dimakan itu dan tahinya akan dimakan pula oleh Neuron C, dan begitulah seterusnya.

8 – Jika anda rujuk nota no.4, disebutkan bahawa neuron-neuron ini tidak lah bersambung atau bersentuhan antara satu sama lain (terminal axon Neuron A tidak bercantum dengan dendrite Neuron B pun). Jika anda perhatikan rajah di atas, terdapat satu ruang kosong antara mereka, dan ruang ini dikenali sebagai synapse.
9 – Berbalik kepada kisah neurotransmitter, pergerakannya dari terminal axon ke dendrite (receptor) menghasilkan sedikit perbezaan potensi arus elektrik dikenali sebagai membrane potential –  ini disebabkan oleh perbezaan kepekatan ion yang terdapat di antara luar sel dan dalam sel. Disebabkan neuron ini amat sensitif dengan perubahan arus elektrik di sekitarnya, ia juga merupakan isyarat kehadiran neurotransmitter ini kepada mereka (dendrites).
10 – Ada berbagai jenis neurotransmitter yang terdapat dalam badan kita. Dipendekkan cerita, ada sejenis neurotransmitter yang dikenali sebagai Opioid Peptide (atau cukup saja dengan nama Opioid). Berbeza dengan jenis neurotransmitter yang lain, Opioid boleh melekat/diterima oleh suatu receptor yang ada pada otak dipanggil Opioid Receptor. Kenapa ia dipanggil Opioid? Ini kerana receptor ini mentafsir isyarat yang diterima sebagai rasa ‘high’ atau rasa selesa (dalam bahasa Inggeris, Opium adalah bermaksud dadah/candu). Opioids juga sering digunakan sebagai ubat tahan sakit dalam bidang perubatan (sakit masih ada, cuma otak mentafsirnya sebagai ‘tak sakit’).
11 – Terdapat beberapa opioid yang dihasilkan oleh tubuh badan hasil dari rangsangan oleh seseuatu tindakan. Antaranya Endorphins (oleh Kelenjar Pituitary dan Hypothalamus yang terletak berhampiran otak). Tindakan atau rangsangan yang membawa kepada penghasilan Endorphins adalah senaman, rasa keterujaan, kesakitan (termasuk apabila makan makanan pedas), rasa cinta dan orgasma ketika seks.

12 – Nama Endorphins berasal dari singkatan 2 istilah iaitu “Endogenous Morphine” – merujuk kepada bahan seperti morphine (dadah) yang dihasilkan secara semulajadi oleh badan. Endorphins juga dikenali dengan nama jolokan “the feel-good chemical” (dah macam slogan ntv7 bunyinya)
13 – Ketika bersenam, Endorphins dirembeskan oleh kelenjar pituitary ke dalam darah, kemudian dikesan oleh neuron-neuron di bahagian saraf tunjang dan seterusnya sampai ke otak. Kebiasaanya ia banyak dirembeskan ketika senaman berintensiti sederhana dan tinggi dilakukan (pernafasan menjadi tercungap-cungap / laju).
14 – Dipercayai ia dirembeskan untuk memberikan rasa selesa kepada individu yang bersenam memandangkan bersenam juga memberikan kesan ‘kesakitan’ kepada tubuh badan. Pernah terfikir, mengapa bicep anda tidak pernah terasa sakit ketika melakukan bicep curls, waima secara teori luka mikroskopik pada otot sudah berlaku ketika itu, namun otak anda masih berfikir ia tidak sakit dan anda boleh lakukan lebih lagi, namun pada sebelah malam atau keesokkan harinya, anda mula merasa sakit pada bahagian tersebut?
15 – Endorphins juga dipercayai merupakan salah satu faktor penting anti-penuaan, anti-stress, anti-tekanan perasaan, mengurangkan rasa marah, menguatkan sistem imun badan dan merendahkan bacaan tekanan darah (semua ini juga merupakan kelebihan/kesan langsung dari bersenam, terima kasih kepada Endorphins).
16 – Berapa lama paras Endorphins akan bertahan dalam badan selepas bersenam? Ia berbeza dari individu ke individu. Ada individu yang puas dan mempunyai mood riang meskipun setelah bersenam berjam-jam lamanya. Macam saya.
17 – Kini anda tahu mengapa mereka yang sering bergiat aktif / bersenam itu jarang stress, sentiasa riang dan berfikiran positif? Mengikut pengalaman saya, mereka yang aktif bersukan dan rajin belajar, adalah pelajar yang paling cemerlang dan pandai dalam sekolah/institusi tersebut. Barangkali, mereka tidak terlalu stress ketika belajar dan apa yang dipelajari itu mudah untuk dihadam oleh otak.

Sebaliknya, mereka yang jarang / tidak pernah bersenam dan sentiasa diselubungi kesibukan kerja pula biasanya mempunyai risiko yang tinggi untuk menerima tekanan / stress. Barangkali kerana otak kurang mendapat Endorphins dan Costisol pula banyak berkumpul dalam badan. Anda pasti tidak mahu jadi seperti itu bukan? Kini anda sudah ada alasan untuk meluangkan masa untuk beriadah dan bersenam sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.

Monday 9 May 2016

Latihan Tabata: 4 minit yang NERAKA tetapi Super!




Entri ini merupakan sambungan kepada entri lepas yang menceritakan serba sedikit apa itu Latihan Interval (Interval Training, HIIT) dan kebaikkannya untuk meningkatkan kesihatan jantung (stamina) berkali-kali ganda dan penurunan berat lemak secara total dalam satu sesi senaman yang pendek. Kali ini, aku ingin menceritakan pula salah satu rejim senaman paling TERBAIK dalam sejarah HIIT, paling tip top, paling singkat (hanya 4 minit dalam satu sesi dan kesan adalah sama seperti berjogging 40 minit), tetapi paling NERAKA! Ya, aku amat bermaksud dengan istilah NERAKA, kerana ternyata ia merupakan 4 minit yang amat menyeksakan yang pernah anda alami. Memperkenalkan kepada anda, Kaedah/Latihan Tabata.
Apa itu Latihan Tabata? Ia merupakan kaedah senaman (High Intensity Interval Training) yang diolah berdasarkan kajian pada tahun 1996 oleh Dr. Izumi Tabata dan rakan-rakan dari National Institute of Fitness and Sports, Tokyo. Kaedah/protokol untuk senaman ini adalah seperti berikut:
1. Warm-up (memanaskan badan)
2. Senaman yang ultra-intensif pada 170% daripada VO2 (20 saat)
3. Diikuti dengan rehat yang minimal (10 saat)
4. Ulangi langkah 2 hingga 3 untuk 8 set (Jumlah masa = 4 minit)
5. Warm-down (sejukkan badan)
Huraian mengenai Kaedah/Latihan Tabata
Latihan Tabata adalah sejenis HIIT yang menerapkan nisbah 2:1. Latihan yang berlangsung hanya selama 4 minit ini (240 saat) terbahagi kepada 8 bahagian atau set. Setiap set pula terbahagi kepada 2 fasa, iaitu fasa pecut selama 20 saat (sprint phase) dan fasa rehat selama 10 saat (rest phase). Kitaran ini berterusan sebanyak 8 kali (Jumlah masa = 4 minit).
Untuk 20 saat yang pertama, anda haruslah melakukan sesuatu senaman itu pada intensiti yang paling tinggi (do it all out!). Sekiranya anda ingin menerapkan latihan Tabata dalam larian, maka dalam tempoh 20 saat itu juga anda perlu berlari pecut sekuat hati seperti Usain Bolt, sebelum diikuti dengan rehat selama 10 saat (boleh berjalan lenggang ‘itik pulang petang‘ sebentar). Apabila jam randik di tangan sudah cukup tempoh 10 saat, anda harus terus berlari pecut lagi untuk 20 saat berikutnya, dan proses ini berulang sebanyak 8 kali. Boleh anda bayangkan?

Keberkesanan Tabata
Menerusi kajian yang telah dilakukan oleh Dr. Tabata, atlit yang menggunakan kaedah ini selama 4 kali seminggu berserta 1 kali kardio konsisten (jogging) didapati mengalami peningkatan kapasiti aerobik*dan anaerobik sama seperti mereka yang pulun berjogging selama 5 kali seminggu. Sedangkan latihan kardio seperti jogging yang biasa mungkin makan masa sekurang-kurangnya 40 minit, tetapi kaedah Tabata hanya memakan masa hanya 4 minit sahaja! Sangat pendek bukan? Sesuai untuk mereka yang berkerjaya dan terlalu sibuk untuk bersenam. Malah iklan di TV3 pun jauh lebih panjang tempohnya daripada itu. Mana nak dapat senaman yang hanya selama 4 minit, kemudian habis sesi senaman untuk hari tersebut. Mungkin anda tidak percaya, tetapi itulah Kelebihan Tabata.
Dipercayai, kesan daripada melakukan latihan Tabata tidak terhad kepada peningkatan stamina sahaja, tetapi pembakaran kalori (menerusi peningkatan kadar metabolisma) juga adalah hampir sama dengan mereka yang pulun berjogging setiap hari. Selepas ni, jangan terkejutlah jika terdengar Senah turun 5kg dalam masa seminggu. Rahsianya? Tabata 4 minit sehari sahaja!
Memetik ungkapan popular berkenaan Tabata – “With only 4 minutes in every 3 days, you can turn your body into a fat-burning super-engine!
Tahukah anda? Kapasiti Aerobikadalah adalah keupayaan tubuh badan seseorang untuk mengambil oksigen. Lebih tinggi kadar kapasiti aerobik, maka lebih jauh dan lebih lama seseorang itu boleh berlari. Bahasa mudahnya, stamina.

Bersediakah anda melakukan Tabata? (AMARAN!)
Mungkin bunyinya seperti mudah, 4 minit itu berapalah sangat, bukan? Maka adalah yang berkira-kira ingin mencuba kaedah Tabata selepas ini. Tetapi, adakah semua orang boleh melakukan Tabata? Jawapannya, tentulah TIDAK! Aku sendiri pun rasa macam dah separuh mati buat Tabata ni, pernah cuba sekali, lepas tu taubat nasuha, lebih rela dengan latihan interval yang biasa (nisbah yang lebih mudah untuk diikuti), atau berjogging biasa.
Untuk melakukan Tabata, jantung anda haruslah benar-benar kuat, dan betul-betul fit. Sekiranya kalau berjogging selama 20 minit tanpa henti pun dah semput, maka anda mungkin boleh mula melupakan kaedah Tabata ini, sehingga stamina/jantung anda benar-benar mantap menghampiri keupayaan seorang atlit. Anda juga perlu memastikan yang diri anda benar-benar sihat, dan dapatkan pengesahan daripada doktor atau jurulatih peribadi (jika ada) sebelum melakukan Tabata.
credit to : http://sususejat.com/latihan-tabata-4-minit-yang-neraka-tetapi-super/